ADAB BERGURU MENURUT ISLAM
(11) ADAB BERGURU MENURUT ISLAM
Di dalam Islam kedudukan
guru adalah amat tinggi. Guru merupakan pembimbing dan penasihat umat.
Jika tiada guru maka manusia akan menjadi haiwan lantaran tidak ada
pengajaran dan bimbingan. Oleh kerana itu Islam sangat mengambil berat
tentang guru. Sesiapa yang memuliakan guru bererti ia memuliakan Rasul,
sesiapa yang memuliakan Rasul bererti memuliakan Allah dan sesiapa
memuliakan Allah syurgalah tempat kediamannya. Sebaliknya jika seseorang
menderhakai guru bererti ia menderhakai Rasul. Barang siapa yang
menderhakai Rasul bererti ia memurkai Allah. Sesiapa yang memurkai Allah
maka nerakalah tempatnya. Oleh kerana itu seorang pelajar mestilah
memelihara adab-adab bersama guru.
Adab-adabnya antara lain adalah seperti berikut:
1. Memberi salam dan sentiasa hormat kepada guru.
2. Duduk dengan sopan dan sentiasa dalam keadaan tenang.
3. Jika ingin bertanya minta izin terlebih dahulu.
4. Cari masa yang sesuai untuk bertanya.
5. Sentiasa menampakkan sikap menerima pendapat guru.
6. Hindari daripada menyinggung perasaan guru.
7. Memberi bantuan kepada guru apa yang dapat dibantu.
8. Lakukanlah apa yang paling disenangi oleh guru.
9. Bercakap dengan baik dengan guru, dengan menggunakan bahasa yang baik.
10. Tidak meninggikan suara semasa bercakap dengan guru.
Dalam penulisan agung
“Ihya’ `Ulum al-Din” karangan Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali, beliau
telah membuat satu garis panduan adab pelajar dalam menuntut ilmu. Dalam
penulisannya, beliau telah mengenalpasti 10 panduan yang boleh
dijadikan asas pedoman kepada para pelajar. Asas-asas ini perlu dihayati
dan dicernakan dalam diri para pelajar dalam usaha mereka menuntut ilmu
sama ada di peringkat rendah atau di peringkat pengajian tinggi.
Pertama, menjauhi
perkara-perkara yang boleh merosakkan akhlak yang murni, kerana ilmu
amat mudah mendekati orang yang baik budi pekertinya dan jiwa yang
sentiasa bersih dan tenang. Sekiranya, hati seseorang itu dicemari
dengan elemen-elemen yang negatif yang boleh merosakkan kemurnian hati
dan jiwa menyebabkan pelajar tersebut sukar untuk menguasai ilmu. Ini
kerana secara prinsipnya, ilmu itu bersifat suci. Sebagaimana firman
Allah dalam al-Quran yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang musyriq itu najis” (at-Taubah:28).
Istilah najis yang
dijelaskan oleh al-Quran merupakan simbolik yang mengertikan sifat kotor
tersebut mesti dijauhi dan dihindari disebabkan sifat tersebut boleh
merosakkan manusia.
Kedua, para
pelajar disarankan tidak terlalu terikat dengan hal-hal keduniaan yang
berkecenderungan melalaikan fikiran daripada menumpukan perhatian
sepenuhnya terhadap pelajaran. Unsur-unsur ini boleh menyebabkan pelajar
tidak dapat menunaikan tanggungjawabnya sebagai pelajar yang hakiki dan
memalingkan fikirannya dalam usaha menuntut ilmu. Hal ini sebagaimana
yang dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran yang bermaksud:
“Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua organ hati dalam rongganya” (al-Ahzab:4).
Oleh yang demikian,
sekiranya fikiran para pelajar dipengaruhi oleh elemen-elemen yang boleh
mencemari mentalitinya menyukarkan untuk mengetahui hakikat ilmu.
Menurut Imam al-Ghazali, “Seseorang itu tidak dapat menguasai ilmu
secara sebahagian, melainkan ia memberi perhatian dan tumpuan yang
sepenuhnya”. Beliau memberi perumpamaan terhadap pemikiran yang
dipengaruhi oleh hal-hal yang tidak berkait dengan ilmu seperti air yang
mengalir dari sungai kecil, sebahagiannya diserap oleh tanah dan
sebahagian lagi diserap oleh udara sehingga tidak ada lagi yang sampai
ke ladang.
Ketiga, para
pelajar tidak boleh bersikap angkuh dan bongkak terhadap golongan
intelektual dan guru. Adalah menjadi kewajipan pelajar untuk menyerahkan
segala urusan berkaitan ilmu dan mematuhi serta menghormati guru
seperti orang sakit yang mematuhi arahan dan nasihat doktor. Para
pelajar dituntut bersifat rendah diri, baik sangka dan setia kepada guru
serta sedia menawarkan perkhidmatan kepadanya. Oleh yang demikian,
pelajar tidak boleh bersikap sombong dengan guru seperti tidak mengambil
manfaat ilmu yang disampaikannya dengan alasan antaranya, beranggapan
guru tersebut tidak mempunyai kelayakan akademik yang tinggi. Sikap
seperti ini menunjukkan kebodohan dan kedangkalan pemikiran yang ada
dalam diri seseorang pelajar. Sebaliknya, para pelajar seharusnya merasa
terhutang budi terhadap guru yang mencurahkan ilmu yang memandunya ke
arah kebenaran.
Keempat, orang
yang bersifat tekun dalam menuntut ilmu pada tahap awalnya perlu
mengelakkan diri mendengar perselisihan dan perbezaan pendapat di
kalangan manusia sama ada yang melibatkan ilmu keduniaan atau ilmu
akhirat. Secara rasionalnya, ia boleh mengelirukan pemikirannya terhadap
disiplin ilmu yang baru dipelajarinya dan membantutkan usahanya untuk
membuat penyelidikan yang mendalam. Namun begitu, bagi seseorang yang
telah menguasai sesuatu bidang disiplin ilmu secara mahir dan mendalam
tidak menjadi halangan untuk mengkaji perbezaan pendapat tentang sesuatu
perkara. Ini kerana, perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara
merupakan salah satu daripada metodologi medan penyelidikan ilmu.
Kelima, seseorang
pelajar tidak boleh meninggalkan sesuatu disiplin ilmu yang terpuji
melainkan ia telah mempertimbangkan dengan sebaik mungkin. Sekiranya
faktor usia mengizinkan untuk menuntut ilmu, ia harus mengambil peluang
untuk meningkatkan kepakarannya ke peringkat yang lebih tinggi.
Sebaliknya jika faktor usia menjadi kekangan terhadap usaha menimba ilmu
pengetahuan maka seseorang itu perlu mengetahui perkara asas dan
penting dalam ilmu yang dikuasainya berdasarkan kemampuannya.
Keenam, tidak
memaksa untuk menguasai semua disiplin ilmu secara sekaligus. Tindakan
yang bijak ialah dengan menguasai sesuatu bidang ilmu itu mengikut tahap
dan tingkatan ilmu berdasarkan kemampuan dan keupayaan yang ada pada
diri seseorang. Kompetensi yang ada pada manusia adalah terbatas oleh
pelbagai faktor dari aspek pengalaman, realiti semasa, kepakaran dan
keupayaan mentaliti seseorang.
Ketujuh,
seseorang tidak boleh mencampuradukkan sesuatu cabang ilmu sebelum
menguasai dan memahami dengan mahir cabang ilmu yang sebelumnya. Ini
kerana tertib dalam ilmu adalah tersusun dan berkait rapat antara satu
sama lain. Oleh yang demikian, sekiranya seseorang pelajar memahami
sesuatu ilmu dengan tertib dan tersusun maka ia dapat menguasai sesuatu
konsep ilmu dengan baik. Pemahaman manusia tentang konsep ilmu akan
lebih sempurna dan konsisten jika setiap cabang ilmu dihadam dan
dicernakan mengikut tahap-tahap dan fasa yang tersusun dan terancang.
Kelapan,
seseorang pelajar perlu mengetahui hakikat dan objektif sesuatu disiplin
ilmu yang dipelajari. Ia bertujuan untuk menilai sesuatu kepentingan
ilmu dan faedahnya kepada para pelajar supaya ilmu tersebut dapat
diaplikasi dalam kehidupan dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Matlamat utama ilmu yang dipelajari itu tidak bertentangan dengan
syariat dan membawa kemudharatan kepada umat manusia.
Kesembilan, para
pelajar perlu bersikap ikhlas dalam menuntut ilmu. Kepentingan nilai
ikhlas bertujuan untuk membersihkan jiwa seseorang yang bersifat riak
dan takabur sesama manusia. Hakikatnya, manusia yang berilmu memiliki
jiwa yang bersih dan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah. Meskipun
manusia dituntut menguasai ilmu-ilmu agama, namun ilmu-ilmu yang
berkaitan dengan keduniaan tidak boleh diabaikan, kerana ia sebahagian
daripada fardhu kifayah. Dalam era globalisasi ini, ilmu yang
dikategorikan sebagai fardhu kifayah sangat penting bagi masyarakat
Islam kerana ia dianggap sebagai satu kemaslahatan ( keperluan ) yang
perlu dikuasai oleh umat Islam. Sekiranya manusia mengabaikan bidang
disiplin ilmu ini menyebabkan umat Islam ketinggalan dalam zaman yang
serba canggih.
Dalam al-Quran, Allah berfirman yang bermaksud:
“ Allah akan meninggikan
orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi
ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang
kamu kerjakan” (al-Mujadalah:11)
Kesepuluh, setiap
pelajar perlu mengetahui perkaitan ilmu yang dipelajari bertujuan
supaya mengutamakan keperluan ilmu yang perlu didahulukan daripada ilmu
yang berbentuk sampingan. Keutamaan ilmu ini penting kerana ia dapat
mengukuhkan pemahaman pelajar tentang sesuatu perkara. Di samping itu,
ia menjadi asas utama untuk mempelajari disiplin ilmu yang lain
disebabkan ia mempunyai kesinambungan di antara satu cabang ilmu dengan
disiplin ilmu yang lain.
Berdasarkan garis
panduan yang telah diberikan oleh Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali dalam
kitabnya “Ihya’ `Ulum al-Din” diharapkan dapat memberi pedoman yang
berfaedah kepada mereka yang bergelar pelajar. Mutiara kata-kata yang
dicurahkan oleh ulama’ silam perlu diambil perhatian dan diamalkan oleh
individu yang bergelar pelajar, agar ilmu yang dipelajari diberkati oleh
Allah dan dapat memberi faedah besar kepada umat sejagat.
SUMBER.
SUMBER.
Komentar
Posting Komentar